‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’
‘La Haula
Wala Quwwata Illa Billah’ bermaksud ‘tiada kekuatan dan upaya melainkan dengan
pertolongan Allah’. Ucapan ataupun lafaz ini dipanggil hauqalah. Terdapat
beberapa kelebihan bagi mereka yang menyebut lafaz hauqalah ini. Mari kita
lihat hadis riwayat Bukhari berkenaan lafaz ini:
Dari Abu
Musa: Kami bersama Nabi SAW. Bila kami menaiki dataran tinggi, maka kami
mengucapkan takbir. Maka baginda berkata: “Wahai manusia kasihilah diri
kalian/jangan terlalu menyusahkan diri kamu, kerana kamu tidaklah menyeru zat
yang tuli atau jauh, akan tetapi ia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Lalu
baginda mendatangiku, sementara aku sedang mengucapkan dalam diriku: ‘La Haula
Wala Quwwata Illa Billah’. Lalu baginda mengatakan: “Wahai Abdullah bin Qais
(nama Abu Musa), ucapkanlah ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Sesungguhnya
itu adalah salah satu kekayaan yang tersimpan di syurga”. Atau baginda berkata:
“Tidakkah kamu mahu aku tunjuki salah satu harta kekayaan di syurga? La Haula
Wala Quwwata Illa Billah” [1].
Kemudian mari kita
lihat pula sebuah hadis lain:
Rasulullah SAW
bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan
menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis
Riwayat Tabrani).
Daripada dua hadis
ini, apa yang boleh kita dapati sebagai keuntungan apabila mengucapkannya
adalah:
1. Mendapat balasan
harta kekayaan di syurga kelak. Ia seolah-olah menjadi sumber kepada harta
kekayaan di syurga; setiap ucapan akan di ‘redeem’ dengan sejenis harta yang
bernilai kelak. Semakin banyak disebut, semakin kaya dan semakin banyak harta
tersebut akan kita perolehi. Siapa yang tahu harta itu bagaimana rupa dan
bentuknya? Tiada siapa yang tahu. Jika nak tahu, perlu masuk syurga terlebih
dahulu, betul? Siapa yang mahu banyak harta itu, perbanyakkanlah menyebutnya.
Dari sudut psikologi, seolah-olah Nabi cuba membangkitkan rasa ingin tahu,
kemudian diikuti dengan wujudnya sedikit unsur ‘surprise’, agar kita sama-sama
merasai keterujaan untuk menambah amal dan seterusnya menjadi penghuni syurga
yang tinggi darjatnya.
2. Menjadi ubat
kepada 99 jenis penyakit, salah satunya adalah kebimbangan. Mungkin kepada para
pelajar, mahasiswa dan mahasiswi yang sedang bimbang dengan urusan pelajaran
masing-masing, misalnya yang sedang sibuk menyiapkan tesis… Mungkin adakalanya
kita mengalami kebuntuan dalam menyelesaikan tesis, tugasan dan sebagainya…
maka, lafazkanlah ucapan ini, dengan menghayati dan meresapkan pengertian
‘tiada kuasa dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah’ ke dalam hati.
Sesungguhnya tesis itu, tugasan itu, kebuntuan dan cabaran itu, semuanya adalah
dari Allah. Semuanya ciptaan Allah yang diletakkan dalam diri kita. Allah
letak, bukannya Allah campak. Dia meletakkannya secara elok-elok. Jika kita
menyedari hakikat bahawa ia adalah ‘sesuatu’ yang Allah ciptakan, siapalah lagi
yang boleh menghilangkannya dan menjadikan keadaan stabil seperti sediakala?
Tentu sahaja Allah. Dia menciptakan, hanya Dialah yang mampu menghilangkannya.
Tentu sahaja. Dan kita tiada kuasa walau sedikit pun.
Kisah berkenaan::
-Mavi Marmara
Ini mengingatkan
penyusunbicara tentang suatu kisah benar yang diceritakan oleh aktivis jamaah
yang telah mengikuti pelayaran kapal Mavi Marmara ke Palestin suatu ketika
dulu. Semasa ditahan di dalam kapal, beliau dibaringkan dan dipijak oleh
penceroboh. Dalam kesakitan, beliau mengatakan dalam hatinya lebih kurang
begini isinya: ‘Ya Allah, kaki yang memijakku ini adalah kaki hambaMu, dia tak
dapat mendatangkan mudarat pun, melainkan jika dengan izinMu (dia tak berkuasa
pun, hanya Engkau saja yang berkuasa)’.. Kemudian kesakitannya hilang. Dia
menjadi keliru, (adakah dia pengsan atau separuh sedar), tapi akhirnya dia
menyedari bahawa dia sedar sepenuhnya. Dan tidak jauh darinya ada yang telah
terkorban. Darahnya berbau wangi, semerbak. Itulah tanda kekuasaan Allah,
penghormatan buat mereka yang syahid. Sesungguhnya, mudarat ataupun kesakitan
yang dialaminya walaupun secara pandangan mata kasar adalah didatangkan oleh
manusia… namun hakikatnya Allah yang mengizinkannya berlaku. Dan Allah jua yang
mampu menghilangkannya.
-Bilik kolej
Sewaktu
penyusunbicara datang pada semester baru untuk mendaftar bilik di kolej,
masalah berlaku. Sebelum ini sudah dihubungi pihak pentadbiran, dan mereka
menyatakan boleh datang mendaftar pada tarikh sekian-sekian. Namun apabila
datang pada tarikh tersebut, mereka menyatakan perlu tunggu lagi satu minggu. Penyusunbicara
cuba
menyelesaikannya secara menghubungi pihak atasan syarikat, namun hanya menemui
jalan buntu. Maka terpaksalah menjadi gelandangan. Terbayang akan menjadi
gelandangan selama seminggu atau mungkin lebih, dalam hati rasa biasa-biasa,
‘mungkin ini pengalaman yang susah dapat’ bisik hati ini. Penyusunbicara
menunaikan solat sunat, dan sengaja memperbanyakkan ucapan ‘Alhamdulillah’.Ya, Alhamdulillah
syukur menjadi ucapan yang diperbanyakkan, kerana walaupun susah tiada tempat
tinggal, tetapi apabila mengenangkan ramai muslim di luar sana yang dihimpit
kemiskinan, fakir – sesungguhnya penyusunbicara adalah jauh lebih beruntung
keadaannya berbanding mereka semua. Tidak patut rasanya jika lupa atau enggan
untuk bersyukur hanya kerana musibah kecil dan sementara ini, sedangkan pada
masa sama nikmat yang diperolehi adalah lebih banyak. Lagi pula, kerana lokasi
terget adalah masjid. Ini bermakna lebih banyak masa akan dihabiskan dalam
masjid, bermakna lebih banyak pahala mudah yang akan didapati hanya dengan
hasil niat iktikaf. ‘Takpelah, dapat tambah pahala, Allah memang saje nak aku
duduk lama kat rumah Dia’, bisik hati ini. Ibu menelefon bertanyakan khabar,
dan akhirnya terbongkar juga masalah yang dihadapi. Ibu kerisauan. Beg
diletakkan di masjid. Malam itu masjid menjadi tempat tidur. Keesokan petangnya
selepas asar, penyusunbicara bergerak ke surau kolej. Duduk di dalamnya sambil
melakukan kerja sedikit. Memandangkan orang masih tak ramai, dalam surau itu
sempat juga penyusunbicara menyanyi kecil. Lagu Maher Zain bertajuk ‘Freedom’.
Tiba-tiba ada seorang
akak dari pentadbiran kolej masuk ke ruang lelaki dan beliau mula bertanyakan
tentang saya. Seterusnya menawarkan bilik kosong kepada saya. Alhamdulillah
dapat bilik, dan masalah telah selesai. Rasanya, akak itu kehairanan dengan
suara nyanyian penyusunbicara, itulah yang menyebabkannya masuk ke ruang solat
lelaki tiba-tiba. Setelah dapat kunci, tanpa berlengah penyusunbicara menelefon
ibu, bertanyakan “Ma ada doa(berhubung masalah ketiadaan tempat tinggal) ke
semalam? Doa camne?” Ibu memberitahu sememangnya ada. Di kala ibu tersedar
tengah malam, ibu mendoakan keadaan saya dan mengucapkan ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’ dan juga ‘Rabbi yassir wala
tu’assir’ (Tuhan, permudahkanlah, janganlah disusahkan). Berulang-ulang. Rupanya, berita saya tidak mendapat bilik pun sampai kepada nenek. Berkat doa ibu, nenek dan zikir-zikir yang diajarkan Nabi.
Juga, mengajar diri yang hina ini agar tidak lupa bersyukur di kala ditimpa
musibah.
“Tiada daya dan upaya melainkan dengan
Mu Ya Allah”
[1] Sahih
Bukhari Jilid 009, Buku 093, Hadis Nombor 484.
No comments:
Post a Comment